Tag: Apakah ada manusia yang sempurna?

  • Apakah ada manusia yang sempurna?

    Tiada manusia yang sempurna, kerana setiap orang mempunyai kelemahan.

    Seseorang yang beriman tentu mempunyai kesalahan dan memiliki sifat buruk yang sukar dihilangkan. Tiada orang Mukmin yang murni atau sempurna.

    Pandangan orang, jarang ditujukan pada perkara-perkara yang berada di pertengahan di antara dua hal berdekatan.

    Bagi seseorang, sesuatu itu warnanya putih saja, sebahagian yang lain hitam saja, mereka lupa adanya warna yang lain, tidak putih dan tidak pula hitam.

    Nabi SAW pernah bersabda kepada Abu Dzar RA: “Kamu seorang yang masih ada padamu sifat jahiliyah.”

    Abu Dzar adalah seorang sahabat yang utama, termasuk daripada orang-orang pertama yang beriman dan berjihad, tetapi masih ada kekurangannya.

    Dalam sahih Bukhari, diterangkan sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang meninggal bukan kerana melakukan jihad dan tidak dirasakannya (tidak ingin) dalam jiwanya maksud akan berjihad, maka dia mati dalam keadaan sedikit ada nifaqnya (sifat munafik).”

    Abdullah bin Mubarak meriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib RA mengatakan sebagai berikut:

    “Seorang Mukmin itu permulaannya tampak sedikit putih dalam kalbunya (hatinya), setiap kali iman bertambah, maka bertambah pula kalbu itu. Begitu seterusnya, hingga kalbunya menjadi putih semua.

    “Begitu juga kemunafikan, pertama ada tanda-tanda hitam dalam kalbunya, dan setiap melakukan kemunafikan, maka bertambah pula hitamnya, sampai hatinya menjadi hitam semua.

    “Demi Allah, jika dibuka hati seorang Mukmin, maka tentu tampak putih sekali, dan jika dibuka hati orang kafir, maka tentu tampak hitam sekali.”

    Ini bererti seseorang tidak dapat sekali gus menjadi sempurna imannya atau menjadi munafik, tetapi kedua-dua hal itu bertahap, yakni sedikit demi sedikit.

    Kumpulan Fatwa Yusuf Qardawi

You cannot copy content of this page