Berharap atau Arabnya ialah raja’ adalah sifat terpuji. Sifat berlawanannya ialah putus asa daripada rahmat Allah dan berhenti daripada mengingati Allah, sekali gus menjadi suatu perkara membawa dosa.
Abul Qasim al-Qusyairi dipetik sebagai berkata, raja’ adalah tempat bergantung hati terhadap apa yang disukai dan akan mendapatkan hasilnya di kemudian hari. Dengan raja’, hati menjadi hidup, berlawanan dengan tamanni (angan-angan, mengelamun) kerana ia menimbulkan sifat malas.
Syeikh al-Karamany dilaporkan berkata, tanda raja’ ialah taat. Yang berlaku di dunia ini ibarat seorang menanam benih baik pada tanah yang subur, kemudian menyiramnya. Perbuatan itu adalah raja’ yang kuat.
Sebaliknya yang berlawanan ibarat seorang menanam benih berkualiti rendah pada tanah gersang dan tidak disirami air. Kemudian, dia mengatakan: “Allah berkuasa menumbuhkannya, mudah-mudahan tumbuhan ini tumbuh.”
Ucapan itu benar, tetapi raja’ itu kurang tepat kerana dia mengabaikan kebiasaan yang telah diperintahkan Allah kepada makhluk-Nya.
Ibnu Khubaiq dilaporkan membahagikan hal ini kepada tiga bahagian:
1.Seorang melakukan kebaikan, kemudian berharap agar amalan baiknya itu diterima. Ini adalah raja’ yang benar.
2.Seorang melakukan keburukan, kemudian bertaubat dan mengharapkan keampunan-Nya. Maka, ini juga adalah raja’.
3.Seorang sentiasa melakukan dosa dan enggan bertaubat. Kemudian, dia berkata: “Mudah-mudahan Allah mengampuniku.” Ini tidak dikira berharap.
Adapun yang paling tepat ialah jika seseorang merasakan bahawa dirinya banyak melakukan dosa, maka perasaan takutnya mestilah lebih besar daripada pengharapannya kerana dengan adanya perasaan takut, akan timbul keinginan untuk bertaubat dan seterusnya berharap (bersifat raja’).