Tag: Menipiskan alis mata

  • Menipiskan alis mata

    Antara yang dianggap berlebih-lebihan dalam menghias diri yang diharamkan Islam ialah mencukur rambut (atau bulu) alis mata atau bulu mata untuk meninggikannya atau menyama-ratakannya.

    Hadis Nabi ertinya: Rasulullah SAW melaknat wanita yang mencukur alis matanya dan yang meminta dicukurkan alis matanya. (Diriwayatkan Abu Daud)

    Perkataan “Namisoh” (istilah Arab dalam teks hadis itu) ialah yang melakukannya sendiri, dan “Mutanammisoh” (istilah Arab dalam teks hadis itu) iaitu wanita yang meminta orang lain supaya mencukurkannya.

    Lebih menjadi haram lagi daripada hal pencukuran alis mata ini, apabila dibuatnya untuk menyundal atau sebagai lambang wanita sundal.

    Berkata sesetengah ulama mazhab Hanbali: Jika wanita memperhiaskan wajahnya dengan andaman, atau memerahkan pipinya, atau mewarnakan bahagian anggotanya, atau melentikkan bulu matanya, semua itu dibolehkan dengan keizinan suami, kerana semua itu termasuk memperindahkan diri.

    Tetapi Imam Nawawi memberatkan hukum haramnya pada andaman, kerana dianggapnya itu sama dengan maksud mencukur alis mata yang diharamkan itu.

    Pendapat Imam Nawawi ini boleh ditolak dengan apa yang disebutkan oleh Abu Daud dalam Sunannya iaitu bahawa “Namisoh” itu ialah wanita yang mencukur alis matanya hingga menjadi tipis, dan dalam sabda itu tidak termasuk mencukur rambut dahi dan menghilangkan lebat rambut (bulu) yang ada padanya (dahi).

    Ath-Thabari telah mengeluarkan satu berita daripada isteri Abu Ishak yang pada suatu hari datang ke rumah Aisyah RA, dan pada ketika itu isteri Abu Ishak masih muda lagi, gemar menyolek diri supaya kelihatan cantik. Lalu, dia bertanya kepada Aisyah: Bolehkah wanita mengandam dahinya untuk suaminya? Jawab Aisyah: Jauhkan dirimu daripada keburukan-keburukan semacam itu sedaya upayamu.

    Halal dan Haran dalam Islam, Dr Yusuf al-Qardhawi

You cannot copy content of this page