Tag: Pengharaman al-wasyam

  • Pengharaman al-wasyam, an-namasy dan at-taflij

    Al-wasyam (tatu) dibuat dengan cara menusukkan jarum dan seumpamanya di belakang genggaman atau pergelangan tangan atau muka, bibir mulut dan anggota badan yang lain sehingga mengalirkan darah.

    Kemudian celak dan seumpamanya dimasukkan ke tempat tusukan itu. Dengan itu ia menjadi warna hijau.

    An-namasy iaitu mencabut bulu rambut di wajah (kening).

    At-taflij ialah menjarakkan gigi kacip dan geraham dengan alat kikir dan seumpamanya.

    Tiga perkara berkenaan adalah haram bagi lelaki dan perempuan. Tiada beza antara yang membuat dan yang meminta dibuat.

    Hal ini disebabkan adanya laknat ke atas mereka. Laknat tidak akan berlaku melainkan ke atas perbuatan yang haram, bahkan laknat juga ke atas dosa besar.

    Ahli fiqah menyatakan: Tempat yang ditatukan menjadi najis kerana ada darah beku di dalamnya.

    Sekiranya ia boleh ditanggalkan dengan perubatan, maka wajib dilakukan.

    Sekiranya tidak mungkin dilakukan melainkan dengan jalan pembedahan, jika dikhuatiri mengakibatkan kemudaratan ataupun aib yang teruk pada anggota yang jelas kelihatan seperti muka, kedua-dua tapak tangan dan selainnya, tidak wajib menanggalkannya. Cukuplah taubat yang akan menggugurkan dosa.

    Sekiranya tidak dikhuatiri sesuatu mudarat, maka ia mesti ditanggalkan dan berdosa melewatkannya.

    Dalil pengharaman tiga perkara berkenaan

    Dalil yang mengharamkan tatu, mencukur kening dan menjarakkan gigi ialah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Mas’ud RA katanya: “Allah telah melaknat orang yang membuat tatu dan orang yang meminta dibuatkan tatu, orang yang mencukur keningnya dan menjarakkan giginya agar kelihatan cantik, juga orang yang mengubah ciptaan Allah.

    “Kenapa aku tidak melaknat orang yang telah dilaknat oleh Rasulullah SAW, sedangkan ada disebut dalam kitab Allah (ayat 7 surah al-Hasyr, maksudnya): Dan apa yang Rasul berikan kepadamu, maka terimalah dan apa yang dilarangnya, maka tinggalkanlah.”

    Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Allah melaknat orang yang menyambung rambut dan meminta disambungkan dan orang yang membuat tatu dan meminta dibuatkan tatu.”

    Pengecualian

    Mencabut bulu yang tumbuh di muka wanita yang berupa janggut dan misai dikecualikan daripada hukum mencukur bulu kening di muka dan tidak diharamkan mencukurnya. Bahkan, disunatkan mencabutnya kerana larangan hanya pada kening dan rambut yang berada di sekeliling wajah.

    Begitu juga tidak diharamkan apabila dicukur atas sebab perubatan ataupun keaiban yang ada pada gigi. Hal ini kerana yang diharamkan hanya apabila ia dilakukan untuk kecantikan dan pengelokan di samping mengubah ciptaan Allah.

    Hikmah pengharaman

    Hikmah pengharaman tatu, mencukur kening dan menjarakkan gigi jelas disebut pada hadis sebelum ini iaitu mengubah ciptaan Allah, kerana ia adalah penipuan dan menampakkan perkara yang tidak sebenar.

    Sumber: Kitab Fiqah Mazhab Syafie

You cannot copy content of this page