Tambah baik silibus pendidikan seks

KUALA LUMPUR — Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Hal Ehwal Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat menekankan keperluan mendesak untuk menambahbaik silibus pendidikan seks kebangsaan dengan memasukkan implikasi undang-undang berkaitan bagi individu bawah umur yang melakukan hubungan seks.

Pengerusi jawatankuasa itu, Yeo Bee Yin, berkata ini kerana masih wujud ibu bapa termasuk anak mereka di bawah umur langsung tidak cakna atau mengetahui kewujudan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, khususnya sekiranya anak mereka melakukan seks di bawah umur.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menambahbaik Garis Panduan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) bagi memastikan ibu bapa dan anak mereka yang masih di bawah umur memahami undang-undang berkaitan.

Beliau menjelaskan, apa yang dicadangkan oleh JKPK itu selepas pihaknya mengadakan lawatan ke pusat pemulihan kanak-kanak.

“Ramai antara kanak-kanak atau pun ibu bapa belum tahu melakukan hubungan seks di bawah umur 16 tahun walaupun consensual (kerelaan) adalah satu kesalahan di bawah undang-undang Malaysia.

“Oleh itu, apabila kita pergi ke rumah atau pusat pemulihan kanak-kanak, yang lelaki (pelaku) perlu ditahan di pusat pemulihan kerana menjalinkan hubungan seks dengan teman wanita mereka.

“Kedua-duanya bawah umur tapi hanya lelaki yang akan masuk pusat pemulihan kerana di bawah Kanun Keseksaan di Malaysia, rogol itu adalah lelaki sahaja yang boleh buat salah.

“Kerana Kanun Keseksaan itu, ramai tidak tahu. Oleh itu adalah sangat-sangat penting buat ibu bapa tahu berkenaan ini. Walaupun teman wanita, teman lelaki bawah umur…tidak boleh ada hubungan seks.

“Adalah sangat penting kita ada silibus yang ditambahbaik yang mendidik anak-anak kita,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 20 November lalu, KPM melancarkan PEERS dalam usaha menangani peningkatan remaja hamil luar nikah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dilaporkan berkata, garis panduan itu disifatkan sebagai tepat pada masanya, memandangkan cabaran dihadapi negara dengan pelbagai isu termasuk keganasan seksual terhadap kanak-kanak dan gadis muda.

PEERS direka untuk menyampaikan mesej secara langsung kepada masyarakat khususnya pendidik, ibu bapa dan komuniti yang lebih luas, termasuk organisasi bukan kerajaan bagi membantu meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan reproduktif.

BH ONLINE

You cannot copy content of this page