(Soalan berkaitan) — Apakah boleh wanita Muslimat menghias dirinya di tempat tertentu misalnya pada masa ini yang dinamakan salun kecantikan, dengan alasan keadaan masa kini bagi wanita sangat penting untuk tampil dengan perlengkapan dan cara-cara berhias seperti itu yang bersifat moden? Bolehkah wanita memakai rambut palsu atau tutup kepala yang dibuat khusus untuk itu?
Agama Islam menentang kehidupan yang bersifat kesengsaraan dan menyeksa diri, sepertimana yang telah dipraktikkan oleh sebahagian daripada pemeluk agama lain dan aliran tertentu.
Agama Islam juga menggalakkan bagi umatnya untuk selalu tampak indah dengan cara sederhana dan layak, yang tidak berlebih-lebihan.
Bahkan Islam menggalakkan pada masa hendak mengerjakan ibadat supaya berhias diri di samping menjaga kebersihan dan kesucian tempat mahupun pakaian.
Allah berfirman (maksudnya): “…pakailah pakaianmu yang indah pada setiap (memasuki) masjid)…” (Al-A’raf, 31)
Apabila Islam sudah menetapkan perkara-perkara yang indah, baik bagi lelaki mahupun wanita, maka terhadap wanita, Islam lebih memberi perhatian dan kelonggaran, kerana fitrahnya, sepertimana dibolehkannya memakai kain sutera dan perhiasan emas, yang mana hal itu diharamkan bagi lelaki.
Adapun perkara-perkara yang dianggap oleh manusia baik, tetapi membawa kerosakan dan perubahan pada tubuhnya, daripada yang telah diciptakan oleh Allah di mana perubahan itu tidak layak bagi fitrah manusia, tentu hal itu pengaruh daripada perbuatan syaitan yang hendak memperdayakan. Oleh itu perbuatan itu dilarang. Seperti sabda Nai Muhammad SAW: Allah melaknat perbuatan tatu, iaitu menusukkan jarum ke kulit dengan warna berupa tulisan, gambar bunga, simbol-simbol dan sebagainya, mempertajam gigi, memendekkan atau menyambung rambut dengan rambut orang lain (yang bersifat palsu, menipu dan sebagainya). (Hadis sahih)
Seperti riwayat Said bin Musayya, salah seorang sahabat Nabi SAW ketika Muawiyah berada di Madinah setelah beliau berpidato, tiba-tiba mengeluarkan segenggam rambut dan mengatakan: Inilah rambut yang dikatakan Nabi, azzur yang ertinya alwasilah (penyambung) yang dipakai oleh wanita untuk menyambung rambutnya, hal itulah yang dilarang oleh Rasulullah dan tentu hal itu adalah perbuatan orang-orang Yahudi. Bagaimana dengan anda, wahai para ulama, apakah kalian tidak melarang hal itu? Padahal aku telah mendengar sabda Nabi yang ertinya: Sesungguhnya telah terbinasalah orang-orang Israel itu kerana para wanitanya memakai itu (rambut palsu) terus-menerus. (Hadis riwayat al-Bukhari)
Nabi menamakan perbuatan itu sebagai suatu bentuk kepalsuan, supaya tampak hikmah sebab dilarangnya hal itu bagi wanita dan kerana hal itu juga adalah sebahagian daripada tipu muslihat.
Bagi wanita yang menghias rambut atau lainnya di salun kecantikan, sedang yang menanganinya adalah lelaki, hal itu jelas dilarang, kerana bukan saja bertemu dengan lelaki yang bukan muhrimnya, tetapi lebih daripada itu, sudah pasti itu haram, walaupun dilakukan di rumah sendiri.
Bagi wanita yang tujuannya taat kepada agama dan Tuhannya, sebaiknya berhias diri di rumahnya sendiri untuk suaminya, bukan di luar rumah atau di tengah jalan untuk orang lain. Yang demikian itu adalah tingkah laku kaum Yahudi yang menginginkan cara-cara moden dan sebagainya.
Kumpulan Fatwa Yusuf Qardawi